Tuesday 13 February 2018

Punca Kerosakan Pada Port USB


Secara amnya, pemacu flash USB akan rosak satu ketika nanti apabila cip memori di dalamnya lama-kelamaan akan kehausan. Bagaimanapun, had operasi baca dan tulis cip memori kebanyakan pemacu USB masih lagi boleh menampung tahap penggunaan biasa.


Selalunya, benda yang jadi punca kerosakan pemacu flash USB adalah komponen-komponen lain yang melengkapi peranti berkenaan. Lagipun, komponen-komponen inilah yang akan rosak terlebih dahulu sebelum tiba masanya memori NAND pada pemacu berkenaan tiba tempoh luputnya.


Antara punca penyebab kerosakan pemacu flash USB adalah;


Gagal melakukan Cabut dan Pasang (Eject and Mount) dengan cara selamat

Ada sebab mengapa kenapa komputer kita memberi pesanan kepada kita agar mencabut peranti dengan cara selamat. Kegagalan untuk melakukannya bakal mendedahkan kita kepada risiko kerosakan peranti berkenaan. Malah, terdapat kemungkinan ia boleh merosakkan memori (corrupted) atau menyebabkan berlaku gangguan elektrik berskala kecil yang boleh merosakkan sesetengah komponen yang sensitif di dalam pemacu flash USB.


Kerosakan komponen penyambungan

Ada dua bahagian penting yang diperlukan untuk sambungan ke komputer pada pemacu flash USB; plug penyambung logam dan poin-poin terpateri yang menghubungkan penyambung dengan papan litar memori. Bahagian penyambung logam boleh rosak akibat pemakaian yang terlalu kerap atau mengalami kerosakan fizikal akibat kemek, diketuk atau sebagainya. Bila penyambung ini rosak, komputer tidak dapat mengesan sama ada pemacu USB berkenaan bersambung dengan komputer atau tidak.


Kegagalan Komponen-Komponen Elektronik

Selain dari menempatkan cip-cip memori flash, papan litar di dalam pemacu USB turut dilengkapi dengan komponen-komponen lain seperti kapasitor, perintang, pengayun dan sebagainya. Kejadian pusuan kuasa (power surge) boleh menyebabkan berlaku litar pintas dan boleh menyebabkan komponen elektronik berkenaan rosak hingga membuatkan pemacu flash USB gagal berfungsi.


Kegagalan Memori NAND

Sebagaimana yang diterangkan pada awal perenggan artikel ini, memang bila tiba masanya, memori NAND pada pemacu USB akan rosak jua akhirnya. Pada kebiasaannya, ia rosak setelah bertahun-tahun digunakan dan telah mencapai had maksimum keupayaan operasi baca dan tulis.


Kesimpulan

Menyimpan data-data atau fail-fail penting pada pemacu flash USB untuk jangka masa panjang bukanlah sesuatu yang bagus untuk dilakukan. Kita mendedahkan risiko untuk kehilangan data andainya peranti yang kita gunakan itu mengalami kerosakan dan mempunyai kesulitan untuk mendapatkannya kembali.


Oleh itu, langkah sebaiknya adalah kita perlu melakukan simpanan tambahan (backup) fail-fail berkenaan dengan menempatkannya di pelbagai tempat seperti di dalam hard disk komputer, cakera padat (CD-R) atau menyimpannya di storan awanan (contoh; Dropbox, Google Drive, Microsoft OneDrive dan sebagainya).

No comments:

Post a Comment